Friday 29 July 2011

BERDOA DI BULAN RAMADHAN


Assalamualaikum  


Apa khabar anda pada hari ini? Saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan Salam Ramadhan Mubarak.

Ramadhan hampir tiba. Selain menjadi bulan puasa, ia adalah bulan Quran dan doa.

Doa dikaitkan dengan ciri kehambaan.


Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk Neraka Jahanam dalam keadaan hina. (40:60)


Allah menjelaskan hal doa selepas puasa dan Quran dalam Surah al-Baqarah. Allah menggunakan istilah 'hambaKu' dalam ayat ini, menjelaskan bahawa jika seseorang itu berdoa, ia akan dekat dengan ciri seorang hamba:


Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanKu (dengan mematuhi perintahKu) dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul. (2:186)


Apakah natijah doa? Kalau puasa melahirkan taqwa, doa melahirkan kemampuan untuk berada pada jalan yang baik dan betul. Setiap detik langkah mendapat petunjuk atau irshad daripada Allah. Individu yang jarang berdoa akan mempunyai kemampuan menaakul permasalahan hidup yang tumpul. 

Moga Ramadhan tahun ini meningkatkan TAQWA, SYUKUR dan IRSHAD dalam diri kita.